UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mendakwa video tular membabitkan seorang pensyarah yang mengeluarkan kenyataan kurang senang bukan insiden baru.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya difahamkan ia merupakan kejadian yang berlaku pada semester lalu.
“Saya difahamkan bahawa perkara tersebut berlaku semester lepas dan bukannya semalam jadi maknanya isu ini mesti ada perancangan mengapa ia dimuat naik semalam (Selasa).
“Apa pun kami dah ambil tindakan dan Insyaallah kita sentiasa ingin berikan yang terbaik buat semua pelajar,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Dalam pada itu, Dr Roziah turut mengesahkan pensyarah yang terlibat merupakan lantikan kontrak UiTM yang mengajar pada semester tersebut dan ketika ini masih mengajar di UiTM Seri Iskandar, Perak.
Pada Rabu, tular mengenai sebuah video yang menyaksikan seorang pensyarah dipercayai daripada UiTM yang memarahi seorang pelajar berikutan tidak memiliki komputer riba sewaktu mengikuti sesi pengajian secara atas talian.
Tindakan itu telah mengundang kecaman orang ramai yang tidak bersetuju dengan cara tersebut malah dikatakan telah memperlekehkan golongan B40.