[Video] Kejam! Anak Kucing Dibakar Hidup-hidup, Polis Buru Suspek

Kejam! Seorang lelaki tergamak membakar seekor anak kucing hidup-hidup sambil disaksikan oleh dua lagi individu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada Isnin, di tempat parkir motor di Flat Seri Kenari, Kajang.

Rakaman litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut tular di media sosial sejak Selasa. Menerusi rakaman tersebut kelihatan seorang lelaki membakar seekor anak kucing dan disaksikan oleh dua rakannya yang lain.

 

Memetik laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata,, pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh seorang warga emas. Pengadu telah diberitahu mengenai kejadian tersebut oleh salah seorang saksi yang juga merupakan penduduk di flat berkenaan.

“Saksi kemudian telah maklumkan kejadian tersebut kepada pengadu dan pengadu telah cuba mencari anak kucing tersebut di sekitar flat sebelum menjumpainya dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke klinik veterinar di Ampang untuk rawatan lanjut.

“Semakan polis pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku semalam lebih kurang 1 petang dan tiga suspek lelaki tempatan sedang melepak di tapak letak motosikal di flat perumahan tersebut.

“Tiba-tiba dua suspek bertindak menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing sementara salah seorang telah menyalakan api dan ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Haiwan malang itu kini ditempatkan di sebuah klinik veterinar di Ampang dan berada dalam keadaan kritikal serta memerlukan pemerhatian rapi.

Suspek yang terlibat sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang dipergiat bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan dibuka untuk disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dimana yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Sumber : PERSATUAN HAIWAN MALAYSIA, Malaysia Gazette