MAKIN lama makin menjadi-jadi perbuatan manusia apabila bertindak seolah-olah tidak dikurniakan akal fikiran sehingga tergamak berlaku zalim terhadap haiwan.
Ini yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang semalam melibatkan seorang wanita warga emas yang memukul dua ekor kucing termasuk seekor yang sedang bunting sehingga mati menggunakan sebatang besi.
Saksi kejadian memberitahu, ketika mereka sedang memberi makanan kepada kucing terbiar terlihat tindakan wanita tersebut keluar dari kenderaan yang membawa besi sebelum bertindak memukul kucing tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, perbuatan tersebut berpunca daripada wanita berkenaan yang berang berikutan kucing-kucing tersebut membuat najis di sekitar kawasan rumahnya.
Setakat ini, saksi kejadian turut membuat laporan ke Jabatan Veterinar dan tindakan telah diambil terhadap suspek.
Akibat tidak berpuas hati, suspek telah bertindak memukul kucing-kucing berkenaan sehingga mati.
Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – TheNewsMalaysia