Solat Hajat Jumaat Ini Seluruh Masjid Dan Surau Di Selangor, Tanda Solidariti Malaysia-Palestin

Seluruh masjid dan surau di Selangor akan melaksanakan solat hajat selepas solat Jumaat minggu ini bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin susulan serangan polis Israel terhadap jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa hari ini.


Dalam kenyataan malam ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia sebagai tanda solidariti kepada semua mangsa dalam serangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera dan lebih 350 rakyat Palestin ditahan.


Katanya kerajaan negeri dan rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan itu yang berlaku sebelum waktu subuh ketika jemaah Palestin berada di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.

“Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama warga Palestin dan mengajak pemimpin seluruh dunia untuk bersama-sama mengutuk dan mengecam serangan ke atas rumah ibadat, tindakan provokasi yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia terutamanya pada bulan yang penuh mustajab ini,” katanya.


Amirudin berkata tindakan kejam itu kerap berulang terutamanya pada Ramadan seperti yang berlaku pada April tahun lepas.

Sumber gambar – Rappler | Sumber laporan – Bernama