TIDAK lagi berlaku misteri ketuk pintu di Sabak Bernam, namun kini menular pula ke Alor Gajah, Melaka dan terbaharu di Klang, Selangor, lapor Kosmo!
Jika sebelum ini misteri ketukan tanpa salam hanya berlaku di pintu depan rumah, namun kini gangguan tersebut kini turut menyasarkan pintu bilik tidur.
Kejadian tersebut dialami penduduk di Jalan 4, Jalan 12, Jalan 78 dan beberapa jalan lain di Pandamaran Jaya di sini yang menjadi lokasi baharu misteri ketukan tersebut selepas Sabak Bernam, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.
Menceritakan kejadian itu, seorang mangsa, Nor Hidayah Salehudin, 29, mendakwa pintu bilik tidur di bahagian beranda luar menerima ketukan sebanyak dua kali pada pukul 2 pagi kelmarin.
Katanya, semasa kejadian dia tidur di tingkat atas, manakala bapanya di bahagian bawah di dalam rumah teres dua tingkat tersebut.
“Ketukan kedua itu sangat kuat sehingga menyebabkan bulu roma saya meremang dan ini pertama kali berlaku gangguan seperti ini.
“Pada masa sama, saya terfikir insiden ketukan pernah berlaku di Sabak Bernam sebelum segera membuka bacaan ayat suci al-Quran di radio,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya, ketukan itu membuatkannya tidak boleh tidur semalaman sebelum memaklumkan kepada bapanya yang tidak mendengari sebarang ketukan pada awal pagi itu.
Seorang wanita, Aryana Rosli, 35, pula mendakwa menjadi sasaran ketukan juga sebanyak dua kali sekitar pukul 1.40 pagi.
“Saya beranggapan hanya rumah ini sahaja yang diketuk, rupanya banyak rumah turut mengalami insiden sama sehingga menjadi kecoh di Facebook,” katanya.
Bagi Mohd. Shahrul Ridzwan Mohd. Sani, 29, pula, dia memberanikan diri menyelak langsir rumah selepas menerima ketukan ketika dalam kejadian bermula pukul 1.15 pagi.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kelibat dengan pintu pagar berkunci rapat dengan mangga. Perkara ini sungguh pelik,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!