PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin dilaporkan telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine dengan menyifatkan ia sebagai ‘operasi ketenteraan khas’
Beliau bagaimanapun menegaskan ia bukan bertujuan menduduki negara itu, lapor Kosmo.
Memetik laporan akhbar Daily Mail, Putin memberitahu anggota perkhidmatan Ukraine untuk meletakkan senjata dan pulang ke rumah ketika dia mengisytiharkan perang ke atas Ukraine dalam ucapan awal pagi kepada negara itu.
Putin berkata Rusia tidak boleh wujud dengan ancaman berterusan yang berpunca dari wilayah Ukraine dan pertempuran antara askar Rusia dengan Ukraine adalah tidak dapat dielakkan.
“Saya telah memutuskan untuk menjalankan operasi ketenteraan khas. Rusia tidak boleh wujud dengan ancaman berterusan yang berpunca dari wilayah Ukraine.
“Anda dan saya tidak mempunyai peluang untuk melindungi rakyat kita selain daripada yang kita gunakan hari ini,” kata Putin dalam ucapannya.
Selang beberapa minit ucapan awamnya, letupan boleh didengari di ibu kota Kiev serta bandar Kramatorsk di tengah Ukraine dan Odessa di selatan.
Sumber: Kosmo