POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan polis terhadap pemilik akaun Instagram ‘Bukan_Bang_Jago’ yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, lagu Negaraku dan bendera Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan kini sedang dikendalikan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT, Bahagian D5 Bukit Aman.
“Siasatan kini mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Huzir mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingg mendatangkan kegusaran.
Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam.
Gambar yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong itu turut mendapat perhatian Tuanku Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah apabila gambar tersebut dimuat naik di akaun Instagram milik baginda.
Menerusi kiriman di Instagram milik Raja Permaisuri Agong itu, Tunku Azizah menzahirkan rasa kesal meskipun baginda sempat bergurau menerusi kiriman Baginda di Instragram.
“Beta menunjukkan hantaran kepada suami dan memberitahunya tuanku kelihatan comel dan seksi.
“Gara-gara orang tiada kerja, buat cari dosa sahaja.
“Kepada Allah berserah. Sila ambil tindakan,” tulis Tunku Azizah di Instagram baginda hari ini. – TheNewsMalaysia