KERAJAAN memutuskan untuk membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula esok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan semula PKRC itu bukanlah kerana katil di hospital tidak mencukupi namun lebih kepada langkah pencegahan dan memberi penampan kepada sistem kesihatan negara, lapor Astro AWANI.
“Hospital kita sudah mula memberi perkhidmatan dan rawatan untuk bukan COVID-19 terutama kes elektif yang tertangguh selama dua tahun, tidak terganggu atau diberhentikan perkhidmatan tersebut disebabkan peningkatan kes COVID-19 kerana varian Omicron.
“Untuk kemasukan ke MAEPS ini, ia adalah lebih kepada kes-kes berisiko rendah dan juga step-down care. Ini adalah strategi kita untuk gelombang Omicron di mana kita wujudkan katil-katil risiko rendah yang akan digunakan untuk tempoh lebih singkat berbanding Delta.
“Sebab itu kita mengoperasikan semula MAEPS dengan 100 buah katil. Pada kemuncak gelombang Delta, MAEPS ada 10,000 katil tapi esok ada 100 katil dengan penampan 850 katil,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya pada Khamis.
Tambahnya, pembukaan MAEPS adalah untuk memastikan kapasiti hospital di Lembah Klang dijaga sebaiknya dan rawatan bukan COVID-19 dapat diteruskan tanpa gangguan.
Katanya lagi, beliau menjangkakan pengoperasian semula PKRC itu mungkin tidak akan begitu lama seperti yang berlaku semasa Malaysia menguruskan varian Delta sebelum ini.
PKRC MAEPS 2.0 di Serdang ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas.
Difahamkan kumpulan pesakit COVID-19 terakhir yang menerima rawatan di PKRC itu sudah dibenarkan keluar pada 30 Januari lepas.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata PKRC MAEPS 2.0 ditutup setelah didapati ia tidak lagi ekonomik dengan mengambil kira kos operasi dan jumlah pesakit yang semakin berkurang.
Sumber: Astro AWANI