PAKAR motivasi terkenal, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad menjadi perbualan hangat dan mendapat kecaman hebat daripada warganet apabila memuat naik sebuah video di laman media sosialnya berkaitan jodoh, namun ada juga netizen yang mempertahankan kenyataan beliau.
Video berkenaan memaparkan Dr. Muhaya menyatakan “seseorang lelaki suka wanita lembut-lembut, biarlah macam bodoh-bodoh sikit” jika wanita ingin cepat mendapatkan jodoh, dan ia turut dikecam oleh pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri melalui ciapan di Twitter miliknya.
Dr. Nur Amalina menyatakan ibu bapanya tidak mengajar untuk menjadi ‘bodoh-bodoh sikit’ di hadapan lelaki lebih lagi demi mendapatkan jodoh selain turut mengatakan Dr. Muhaya menghantar pesanan yang salah kepada kaum wanita.
Disebalik kecaman, ada juga di antara netizen yang mempertahankan kenyataan Muhaya dan menganggap ramai yang tersalah tafsir maksud tersirat yang disampaikan iaitu wanita perlu bersikap tolak ansur dan bertoleransi dalam hubungan suami isteri.
Selain dari itu, terdapat beberapa pihak yang menyifatkan bahawa golongan muda sekarang mungkin tidak begitu memahami kiasan yang dimaksudkan oleh Dr.Muhaya.
Terdahulu, Dr. Muhaya menyatakan kedudukan lelaki masih lagi wajib sebagai ketua dan imam bagi wanita walaupun wanita mempunyai jawatan yang lebih tinggi.
Tambahnya lagi, wanita juga patut meraikan kepimpinan lelaki dan tidak terlalu sibuk mahu berdiri sama tinggi dengan lelaki kerana boleh mengakibatkan lambat dapat jodoh kerana orang lelaki suka wanita lemah lembut, yang mengharapkan, suka ditolong dan biarlah macam “bodoh-bodoh sikit”.
Sumber: ohmedia