PENDUDUK di sekitar Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor dikejutkan dengan kejadian letupan dan kebakaran sebuah kilang petrokimia di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat petang Khamis.
Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Abdul Rahman Azezulkifle Sahimi, berkata pihaknya menerima laporan jam 5.16 petang, lapor Astro AWANI.
Katanya, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Johor Jaya segera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
Katanya tindakan kawalan dan pemadaman sedang dilakukan sehingga kini.
Sementara itu, seorang jurucakap bomba berkata, punca kebakaran, anggaran kerugian serta jumlah mangsa yang terlibat masih dalam siasatan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian warga Singapura terutama yang tinggal di Pasir Ris dan Punggol, yang dapat melihat asap tebal dan api yang terhasil daripada letupan berkenaan dengan jelas.
Media di negara itu, termasuk CNA juga berkongsi gambar serta rakaman video kejadian berkenaan.
Rakaman kejadian turut tular di laman sosial.
Rata-rata penduduk sekitar mendakwa terdengar bunyi letupan kuat selain merasa gegaran akibat kejadian itu.
Sumber: Astro AWANI