Kuala Lumpur: Kenyataan dikeluarkan oleh Prof Dr Mohamad Yunus di World Economic Forum, Davos, Switzerland, baru-baru ini berkaitan kejayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengeluarkan golongan rentan daripada kemiskinan hidup merupakan hasil kejayaan dibanggakan.
Bagaimanapun tidak banyak generasi muda sedar bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pengasas AIM ditubuhkan pada 17 September 1987, sewaktu beliau menjawat Menteri Pendidikan Malaysia. Sehingga hari ini, Anwar, terus komitmen memperjuangkan kesejahteraan rakyat sejak lebih empat dekad lalu.
Menurut Pengarah Eksekutif, IDE Research Centre, Amidi Abdul Manan, kesungguhan Anwar mula keterlihatan ketika masih seorang pemimpin mahasiswa. Beliau berkata, perdana menteri itu menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan miskin dan terpinggir dengan mengkhususkan pekebun kecil getah tertekan akibat kejatuhan harga getah sekitar 1974.
“Mengambil langkah berani, Anwar menggerakkan demonstrasi di Baling, Kedah, untuk membela nasib mereka hidup dalam kemiskinan.
“Beliau turut memperkenalkan inisiatif model pinjaman mikro kepada rakyat dengan kemampuan Prof. Dr. Mohamad Yunus mengeluarkan ribuan rakyat Bangladesh daripada kemiskinan melalui Grameen Bank,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan, Anwar mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian tentang kesesuaian model Bank Grameen sebagai satu langkah proaktif sekitar 1987. Katanya, kajian diketuai Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon itu membuahkan hasil dengan penubuhan AIM pada tahun sama.
“AIM kemudiannya menjadi salah satu program mikro-kredit paling berjaya, membantu ribuan keluarga keluar dari belenggu kemiskinan.
“Pada 1985, ketika Anwar menjawat jawatan Menteri Pertanian, beliau memperkenalkan langkah memberi manfaat kepada golongan petani miskin,”katanya lanjut.
Ujarnya, Anwar menggerakkan aktiviti Pasar Tani, bertujuan l memerangi penindasan orang tengah terhadap petani luar bandar, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka. “Langkah ini memudahkan akses petani kepada pasaran, malah memperbaiki ekonomi mereka terhimpit oleh ketidakadilan.
“Sebagai seorang pemimpin konsisten dalam perjuangannya, Anwar menjelaskan dalam bukunya, Membangun Negara MADANI (2022) bahawa konsep IHSAN adalah kunci dalam perjuangannya,” jelasnya.
Amidi berkata, Perdana Menteri mentakrifkan ihsan sebagai perasaan untuk menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.
Akuinya, itulah prinsip mendorong Anwar terus berjuang bagi mengangkat martabat golongan terpinggir, memastikan tiada tertinggal dalam pembangunan negara.
“Anwar meneruskan perjuangan ini dalam menghadapi kartel dan para penindas yang merosakkan ekonomi negara.
“Seperti dalam bukunya, Kerangka MADANI merupakan kemuncak daripada empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pemikiran mendalam beliau tentang negara serta masa depan Malaysia,” tambah lagi.
Tuturnya, MADANI bukan sekadar slogan, tetapi terjemahan jelas tentang taat setia dan kasih sayang seorang pemimpin kepada negara dan rakyatnya. Padanya, strategi berani Anwar merombak struktur ekonomi dan menentang pengaruh negatif kartel diperlukan untuk memastikan kemakmuran negara.
“Ini menunjukkan bahawa perjuangan untuk membangun Malaysia MADANI bukanlah satu perjalanan mudah.
“Komitmen dan kecekalan ditunjukkan Anwar, negara berada di landasan tepat menjadi lebih inklusif dan sejahtera,” jelasnya.