DUA individu yang terperangkap dalam tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun, Ipoh, Perak ditemui meninggal dunia di bilik jakuzi resort itu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Goh Boon Keng berkata, mangsa adalah lelaki dan wanita berusia 30-an ditemui pada 9.55 pagi.
Katanya, identiti mangsa sedang dikenal pasti.
“Villa ini sememangnya mempunyai jakuzi tersendiri di dalam bilik dan bilik jakuzi berasingan dengan bilik air.
“Kedua-dua mangsa ditemui duduk berdekatan, selang lima minit. Mereka disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian hari ini.
Goh berkata, tanah runtuh disedari pekerja pada kira-kira 1 pagi dan difahamkan ketika kejadian terdapat empat bilik sahaja yang berpenghuni.
“Pekerja kemudian meminta semua tetamu resort agar mengosongkan bilik dan mendapati dua mangsa tiada yang berkemungkinan berada di dalam bilik jakuzi serta tidak dapat dihubungi,” katanya.
Menurutnya, pekerja itu masuk ke dalam villa berkenaan dengan memanjat tembok sebelum mendapati bilik jakuzi sudah tertimbus dengan tanah.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
Difahamkan, mangsa maut adalah Ooi Chee Wei, 39 and Lee Tze Jun, 32.
Sumber: Harian Metro