DUA mangsa terkorban dalam tanah runtuh di The Banjaran Hotspring Retreat, Tambun, Ipoh, Perak semalam bukannya pasangan suami isteri serta tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua mereka yang berasal dari Kuala Lumpur baru mendaftar masuk ke resort itu sebelum kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Kita kena faham PKPB pada kali ini, untuk urusan pekerjaan dibenarkan, jadi tiada masalah dari segi itu.
“Difahamkan kedua-duanya mangsa datang ke sini atas urusan kerja,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jabatan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.
A Asmadi berkata, mangsa lelaki, Ooi Chee Wei, 39, bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat jualan minyak dan gas, manakala wanita, Lee Tze Juin, 32, adalah ejen hartanah.
Beliau mengulas isu netizen mempersoalkan keberadaan kedua-dua mangsa di resort itu berikutan masing-masing berasal dari Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak bulan lalu.
Kedua-dua mangsa dilaporkan ditemui mati tertimbus duduk berdekatan selang lima minit di bilik jakuzi berasingan di resort berkenaan.
Dalam pada itu, A Asmadi berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa kerana tekanan selepas terhempap dinding tembok dan tanah dan waris mangsa sudah membuat pengecaman.
“Mangsa lelaki disahkan isterinya, manakala wanita oleh adik perempuan. Bedah siasat juga selesai pagi ini dan sudah menuntut mayat untuk pengebumian,” katanya.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber: Harian Metro