PENGUNJUNG dan jemaah umrah yang kini berada di Kota Madinah, Arab Saudi bukan sahaja diuji dengan cuaca panas membahang tetapi juga berdepan gangguan longgokan serangga ekoran gelombang bermusim serangan belalang.
Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Masjid Nabawi dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Haramain mengerakkan lebih 1,000 petugas pembersihan setiap hari dan sepanjang masa bagi memastikan masjid berkenaan sentiasa selamat dikunjungi.
“Buat masa ini agensi menugaskan lebih 1,000 petugas pembersihan dan lebih 600 alat pembersih elektrik dan manual khusus untuk mengumpul serangga”, menurut kenyataan agensi itu yang disiarkan di laman sesawang rasminya hari ini.
Kenyataan itu menyebut bilangan petugas akan ditambah dari semasa ke semasa dan kerja pembersihan serta pembasmian kuman giat dijalankan di Masjid Nabawi, termasuk halaman dan fasilitinya, dengan kerjasama Agensi Perkhidmatan dan Perlindungan Alam Sekitar.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Teknikal, Operasi dan Penyelenggaraan agensi itu turut mengambil inisiatif mengurangkan peratusan pencahayaan di sekitar Masjid Nabawi pada waktu malam, selain membuka payung masjid sepanjang masa.
Untuk rekod, lazimnya gelombang bermusim serangan belalang berlaku di Arab Saudi antara Januari hingga Jun.
Sumber gambar – Media Permata Online | Sumber laporan – Harian Metro