BAKAL penerima vaksin Covid-19 di negeri Kelantan akan menerima vaksin jenis Pfizer bermula bulan Ogos.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, penggunaan Pfizer adalah untuk menggantikan bekalan Sinovac dengan kadar jumlah yang sama, lapor Sinar Harian.
“Kami akan guna Pfizer untuk ganti Sinovac. Tiada isu berkaitan pengurangan jumlah bekalan di negeri ini, kami putuskan hanya guna Pfizer selepas ini dan ia bermula Ogos ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, menurutnya, individu yang sudah menerima dos pertama Sinovac akan tetap menerima dos yang sama untuk suntikan kedua.
Menurutnya, penduduk di negeri ini juga tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan tiada bekalan Sinovac untuk dos kedua kerana pihaknya telah mengatur jumlah dos sebaiknya sebagaimana jumlah penerima suntikan pertama.
“Cuma kami ingin maklum selepas ini akan guna Pfizer, itu saja. Harap seluruh rakyat beri kerjasama sebaiknya dan jangan mudah terpengaruh dengan pandangan negatif pihak tertentu melibatkan vaksin Pfizer,” jelasnya lagi.
Sumber: Sinar Harian