SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan pemeriksaan terhadap jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap di Miri, Sarawak baru-baru ini dan mendapati tidak ada sebarang unsur rasuah dalam projek itu.
Menurut sumber, SPRM Sarawak telah diarah untuk meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan kos yang mahal seperti dibangkitkan orang ramai, lapor Astro AWANI.
“Bagaimanapun, hasil semakan yang dibuat tidak menunjukkan ada rasuah atau penyelewengan. Kayu yang digunakan memang benar kayu belian hasil penelitian oleh pakar,” kata sumber.
JKR Sarawak baru-baru ini mengundang kritikan setelah memuat naik beberapa gambar di media sosial menunjukkan penyerahan jeti kayu baharu di Kampung Mutap, yang dilaporkan menelan kos RM50,000.
Susulan itu, ramai yang menyuarakan keraguan terhadap mutu jeti tersebut, dan ada yang mempersoalkan peruntukan RM50,000 yang dikeluarkan kerajaan susulan struktur kayu yang dikatakan cukup ringkas.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Sumber: Astro AWANI