PENDAKWAH bebas Ebit Lew akhirnya bertemu selebriti terkenal Indonesia iaitu Baim Wong dalam kunjungannya ke negara jiran itu.
Dalam perkongsiannya di laman Facebook, Ebit menyifatkan Baim seorang individu yang hebat atas usahanya membantu individu yang memerlukan di sekitar Indonesia.
“Syukur sangat bertemu Baim Wong dengan Dermawan di Indonesia. Suka memberi dan bersedekah. Baik dan hebat sangat orangnya.
“Cita-citanya dan menjadi sifatnya suka tengok orang gembira. Buat rumah makan percuma. Beri rumah, kereta dan hadiah buat ramai orang. Kagum dan terkesan dengannya, tulis Ebit.
Ebit turut mendedahkan Baim telah menyuarakan hasrat untuk bersama-sama menyertai misi di Indonesia bahkan seluruh dunia.
Mereka juga telah merangka perancangan untuk terbang ke Afrika.
“Syukur katanya beliau juga ingin bersama-sama misi di Indonesia dan seluruh dunia. Kami ada bercadang untuk juga bersama misi ke Afrika.
“Tadi menangis bersama melihat anak-anak kelaparan dan dalam kesusahan,” jelasnya.
Ebit turut mendoakan agar segala usaha Baim dalam melakukan kerja amal dipermudah.
“Sama rasa jiwa. Bila kita membantu orang dijalanan kasihan bila melihat orang tiada rumah tempat tinggal dan anak kecil menangis.
“Semoga Allah memudahkan segala urusan Baim Wong. Memberkatinya dan memberi kesihatan yang baik supaya terus dapat membantu lebih ramai orang, tulis Ebit lagi.
Melalui perkongsian Ebit di laman Facebook, dia dipercayai terbang ke Jakarta dan Pekan Baru, Indonesia bagi menjalankan misi dakwah serta kerja amal pada 11 April lalu.
Baim Wong merupakan pelakon terkenal Indonesia yang sering meruntun hati peminat melalui kerja amal yang di kongsinya melalui laman Youtube.