KUALA LUMPUR, 15 September- Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan produk kosmetik yang didapati mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi satu kenyataan memaklumkan, NPRA KKM telah membatalkan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dan tidak dibenarkan lagi dijual di negara ini.
Beliau berkata, antara produk itu ialah Beauty Treatment Cream mengandungi Hydroquin, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate dan Beauty Nite Cream pula ada Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate.
“Produk yang mengandungi bahan kimia tersebut perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan dan perubahan warna kulit yang tidak diingini,”katanya.
Datuk Dr. Muhammad Radzi berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Sementara syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Oleh yang demikian, jelasnya, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,”jelasnya.
Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. la boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
la juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan- kesan sampingan yang tidak diingini seperti berikut:
Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.