Datuk tak sedap hati dengan petanda pelik sebelum tiga cucu maut nahas rempuh treler – “Saya hendak jalan jauh… jauh tok”

“SAYA memang dapat rasa sesuatu sebelum kejadian (kemalangan maut) ini terjadi kerana salah seorang cucu saya, Lutfi (Muhammad Lutfi Hakim) tiba-tiba bersungguh mahu bersarapan dengan saya dan berkata dia hendak jalan jauh.. jauh tok,” kata Mohamad Ahad, 67, lapor Kosmo!

Muhammad Lutfi, 3, maut bersama-sama abangnya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, dan adiknya Muhammad Affan Hafiy yang berusia setahun.

Ketiga-tiga beradik itu meninggal dunia selepas kereta dipandu ibu mereka, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekrasi Gunung Lang, dekat Ipoh, Perak semalam.

Menurut Mohamad, sehari sebelum kejadian, cucunya itu beriya-beriya mengajaknya bersarapan bersama sebelum bertolak dari rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam untuk ke Pulau Pinang bersama ibunya.

“Ketika sedang bersarapan dia datang kepada saya dan beritahu mahu minum bersama saya kerana ‘hendak jalan jauh, jauh tok’ katanya berulang kali dan ketika itulah saya mula berasa sesuatu.

“Saya masih teringat lambaian cucu-cucu saya dari dalam kereta ketika mereka mahu bertolak kira-kira pukul 11.30 pagi,” katanya yang tidak dapat menahan sebak dan menyeka air mata ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam, Melaka hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3 petang itu, ibu mereka, Nur Aimi bagaimanapun terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas anaknya, Muhammad Alhafiz, 29, menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan isteri dan anak-anaknya terlibat kemalangan dan berada di ICU.

“Bagaimanapun, ketika menonton berita di televisyen pada pukul 8 malam, kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu kesemua tiga beradik itu sudah tiada.

“Saya juga bermimpi bertemu ketiga-tiga cucu saya, mereka datang kepada saya, senyum, peluk saya dan akhirnya melambai kepada saya sebelum tersedar,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga beradik itu duduk bersamanya hampir dua bulan dan pertama kali diambil ibu mereka selepas kira-kira dua bulan menantunya itu bekerja di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah tiga anak syurga itu yang selamat disemadikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Melaka sebentar tadi.

Sumber: Kosmo!