SINGAPURA akan terus mengambil pendekatan berhati-hati meskipun bakal melonggarkan dengan ketara kawalan perjalanan rentas sempadan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Menerusi perutusan khas ke seluruh Singapura pada Khamis, Hsien Loong menjelaskan pendekatan itu telah membantu republik itu menangani dengan baik pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, lapor Astro AWANI.
Hsien Loong menjelaskan langkah ini membolehkan rakyat Singapura kembali melancong sebagaimana sebelum COVID-19 menyerang seluruh dunia.
“Selepas langkah utama ini, kami akan memberikan sedikit masa untuk membolehkan keadaan stabil. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan melonggarkan lagi kawalan,” katanya.
Hsien Loong turut berkata Singapura akan membenarkan perhimpunan dalam kumpulan sehingga 10 orang dan memakai pelitup muka semasa berada di luar tidak lagi diwajibkan mulai 29 Mac nanti.
Memetik laporan Astro AWANI lagi, Singapura juga menaikkan had pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke tempat kerja dan kapasiti bagi acara lebih besar kepada 75 peratus.
Namun di sebalik pengumuman yang mengembirakan warga Singapura itu, Hsien Loong menegaskan republik itu juga harus bersiap sedia dari segi psikologi bahawa keadaan boleh menjadi lebih rumit pada masa hadapan.
“Dengan lebih banyak interaksi, kita juga mungkin akan menyaksikan gelombang barhau kes jangkitan. Dan Omicron bukanlah varian terakhir yang kita perlu tangani. Virus ini akan terus berkembang.
“Kami harap jangkitan varian-varian baru akan menjadi lebih ringan secara progresif dan lebih menyerupai demam selesema. Tetapi mungkin juga, mutan-mutan yang lebih agresif dan berbahaya akan muncul, sama seperti Delta,” kata Lee.
Jika itu berlaku, Singapura kata Hsien Loong mungkin perlu melangkah ke belakang dan mengetatkan semula langkah-langkah kawalan sekali lagi.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan ini akan berlaku, meskipun kita berharap langkah-langkah tersebut tidak perlu diambil.
“Walau apapun yang berlaku, kini kami mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk memastikan semua orang selamat,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, sekiranya perkara itu berlaku, ia mungkin bermakna memberikan setiap orang satu lagi dos penggalak atau vaksin yang baharu.
Hsien Loong dalam ucapannya juga menggesa warga Singapura supaya memahami tujuan di sebalik pengumuman tersebut.
“Anda boleh menyambung semula kehidupan seperti biasa, menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam kumpulan yang lebih besar, keluar rumah tanpa memakai pelitup.
“Atau bertemu semula dengan orang-orang yang tersayang di luar negara. Tetapi jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya,” katanya.
Beliau menggesa setiap orang supaya terus mematuhi langkah pengurusan jarak selamat yang telah disemak dan lakukan ujian kendiri jika mereka berasa kurang sihat, jika diuji positif, mereka harus asingkan diri di rumah.
Sumber: Astro AWANI