Bagi Masa Kepada Kerajaan Buktikan Lesen Media Sosial berjaya

PETALING JAYA: Semua pihak diminta memberi masa kepada Kerajaan bahawa perlesenan
media sosial yang berkuatkuasa 1 Januari lalu berjaya dilaksanakan. Ketika dihubungi Media, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Taylor’s, Profesor Madya Dr Saidatul Nadia Abd Aziz berkata adalah tidak adil untuk menghukum akta ini gagal sedangkan perkara berkenaan baharu dilaksanakan.

Dr Nadia berkata, sekiranya ada kelemahan dalam pelaksanaan pelesenan itu, tidak wajar
untuk sesetengah pihak terus menyatakan ia gagal. “Tidak adil kalau kita kata 1 Januari berkuatkuasa, apa yang berlaku selepas itu adalah gagal. Tidak adil..

Kita perlu memberi masa kepada implementasi undang-undang ini.
“Tetapi, kalau ada masalah, perlu kepada penambahbaikan sebab kita kena faham media sosialini sifatnya laju dan perubahan itu cepat.
“So kena ada ‘timeline’ yang tegas dan tepat perlu kita patuhi. Kalau kata ada pihak yang
melanggar pelesenan itu, tindakan segera perlu diambil,” ujarnya.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, pengendali platform dengan jumlah pengguna lebih lapan juta orang perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) untuk beroperasi di negara ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka
bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Untuk rekod, pada 9 Disember lalu, Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta 588 yang antaralain meminda Seksyen 211(c) dengan menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.

Pindaan itu menyatakan seksyen tersebut tidak lagi terpakai kepada orang awam sebaliknya penggunaannya adalah kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Oleh: Hanim Nadia