Dua anggota polis antara empat yang ditahan dikatakan terlibat dengan rancangan untuk samun sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi melibatkan seorang mangsa berusia 41 tahun sebagai pekerja premis tersebut.
“Mangsa didatangi seorang wanita yang memakai vest polis dan mengambil beberapa barangan tanpa membuat bayaran.
“Mangsa meminta suspek membuat bayaran namun suspek membuat alasan akan ada pegawai atasan yang akan datang membuat bayaran dalam tempoh satu jam sebelum melarikan diri menaiki kenderaan polis jenis Honda Civic,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ezanee, hasil risikan polis telah berjaya membuat dua tangkapan terhadap anggota polis berkenaan yang terlibat dengan kes tersebut.
Suspek yang merupakan anggota polis berusia 38 tahun ditahan di IPD Dang Wangi pada jam 5 petang.
Manakala seorang lagi suspek yang juga merupakan anggota polis berusia 31 tahun ditahan di lokasi sama.
Nik Ezanee memaklumkan, siasatan terhadap dua anggota tersebut telah berjaya memberkas lagi suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.
“Seorang wanita berumur 36 tahun dan seorang lelaki berumur 27 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek kedua dan ketiga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.