WWDC 2022: iPhone 8 & iPhone X tidak terima semua ciri baharu iOS 16

SEPERTI yang diperkatakan ramai sehingga kini, acara WWDC 2022 tempoh hari yang memperlihatkan pengumuman iOS 16 sememangnya memberi pelbagai reaksi kepada pengguna.

Ada yang menganggap ia sebagai satu kesegaran yang disuntik Apple, namun ada juga ia sekadar mengubah lanskap Apple kepada Android.

Dan seperti yang ditegaskan, iOS 16 tidak akan menyokong lima model iPhone iaiatu iPhone 6s/6s Plus, iPhone SE (Gen-1), iPhone 7 dan 7 Plus.

Namun pengguna beberapa model seperti iPhone 8/8 Plus dan iPhone X masih mampu mampu menarik nafas lega kerana masih bakal menerima kemakini iOS terbaharu ini.

Biarpun begitu, tidak semua ciri baharu bakal dapat digunakan pengguna tiga model ini.

Ini adalah kerana kebanyakan fungsi baharu memerlukan sekurang-kurangnya cip Apple A12 Bionic untuk beroperasi.

Antara fungsi tersebut ialah ciri imbasan label ubat ke dalam Health menggunakan kamera yang memerlukan sekurang-kurangnya iPhone XR dan XS.

Manakala ciri menjana transkripsi teks daripada video yang digelar Live Captions pula memerlukan iPhone 11, iPad dengan cip A12 Bionic, atau Mac dengan cip Apple Silicon.

Selain itu, kesan kabur latar belakang dalam gambar yang boleh dipilih serta ciri menjadikan kesan kabur kelihatan lebih realistik memerlukan iPhone 13 dan ke atas.

Mod Cinematic yang lebih tepat dan memukau semasa rakam video juga memerlukan iPhone 13 dan ke atas sahaja.

WWDC 2022 juga memperkenalkan pelbagai ciri lain yang bakal dinikmati semua model yang menyokong iOS 16 antaranya ciri kustomasi skrin kunci, Safety Check yang direka bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga,  suntingan teks iMessage serta banyak lagi!

Jadi, sudakah anda bersedia untuk menerima kemas kini terbaharu ini?