SEORANG wanita di Amerika Syarikat terselamat daripada ajal apabila berjaya diselamatkan selepas dia tersangkut di celah batu semasa melakukanaktiviti renang.
Polis daerah The Dalles, Oregon melaporkan kaki wanita malang itu tersepit di celah batu sungai Columbia dan dia tidak berdaya untuk melepaskan diri.
Bagaimanapun nasib menyebelahi dirinya apabila dia berjaya menghubungi pasukan penyelamat menggunakan fungsi maklum kecemasan menggunakan Apple Watch yang dipakainya.
Dia dikatakan telah terperangkap lebih 30 minit di lokasi kejadian.
“Mangsa menyatakan dia telah terperangkap lebih 30 minit, lalu dia mengambil keputusan menggunakan fitur maklum kecemasan melalui Apple Watch yang dipakainya.
“Ketika diselamatkan, dia mengalami hipotermia dan jelas kelihatan tertekan. Sungai Columbia pula sedang mengalami penambahan paras air akibat hujan yang berterusan dan mencatat suhu serendah 13 darjah Celcius.
Syarikat gergasi teknologi, Apple, kali pertama memperkenalkan jam pintar kalis air pada 2016 yang turut menyediakan maklumat kesihatan pemakai.
Fitur SOS juga diperkenalkan bagi memudahkan pemakai menghantar notifikasi kecemasan kepada pihak penguasa tempatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sumber: independent.co.uk