Telegram Premium: Segalanya yang anda perlu tahu tentang Telegram versi berbayar, boleh muat naik fail sebesar 4 GB!

Telegram Premium: Segalanya yang anda perlu tahu tentang Telegram versi berbayar, boleh muat naik fail sebesar 4 GB

PEMBANGUN aplikasi Telegram kini dikatakan sedang giat membangunkan fitur servis langganan premium yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Beberapa ciri baharu untuk pengguna versi premium juga telah ‘bocor’ dan dipaparkan dalam versi beta aplikasi tersebut.

Dalam artikel ini, penulis akan berkongsi secara terperinci fitur baharu yang bakal diperkenalkan melalui Telegram versi premium.

Namun sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang tarikh diumumkan pembangun Telegram bagi pelancaran versi berbayar itu.

Telegram Premium: Fitur Baharu

Muat naik file sebesar 4 GB

Fitur yang dirasakan bakal memberi impak terbesar ialah penambahan kepada 4 GB saiz muat naik satu-satu file berbanding hanya 2 GB bagi pengguna versi percuma.

Jika anda berada dalam sektor pekerjaan yang memerlukan perkongsian file bersaiz besar saban hari, pastinya Telegram Premium boleh diambil kira sebagai satu pelaburan yang berbaloi.

Muat Turun Lebih Pantas

Telegram juga menyatakan mereka bakal menambah kelajuan proses muat turut satu-satu flle buat pelanggan versi premium.

Lebih menarik, pelanggan versi berbayar ini dikatakan tidak akan terikat dengan sebarang had kelajuan muat turun.

Namun perlu diingatkan, proses ini pastinya bergantung kepada kelajuan internet pengguna.

Perbualan Voice-to-Text

Ini merupakan salah satu fitur yang penulis rasakan sangat berbaloi! Pelanggan Telegram Premium bakal menikmati teknologi Voice-to-Text dimana ia mampu menukar pesanan bersuara kepada pesanan teks.

Ini pastinya satu kemudahan buat pengguna yang ‘bingit’ dengan pesanan suara, jadi kenapa perlu mendengar kalau boleh baca!

Bagaimanapun ketepatan transformasi daripada pesanan audio kepada teks mungkin tertakluk kepada beberapa faktor antaranya ‘slang’ ataupun accent yang diguna.

Nanti kita cuba okay!

Tiada Iklan

Sekitar November lalu, Telegram telah mengumumkan rancangannya untuk menyelitkan iklan ataupun pesanan penaja. Namun mereka turut menjanjikan untuk melancarkan pelan berbayar yang tidak terlalu ‘menekan’ pengguna.

Dan ia kini semakin nyata dengan desas-desus pelancaran versi premium ini.

Maaf pengguna versi percuma, mungkin anda kena ‘layan’ iklan selepas ini.

Stiker Premium

Kalau dah namanya premium, pastilah ada fitur yang lain daripada pengguna versi percuma. Kalau tidak, masakan pengguna lain nak tahu anda pengguna versi premium. Betul tak?

Telegram Premium dikatakan bakal didatangi dengan koleksi stiker premium. Berbanding sticker yang ada sekarang, sticker versi berbayar ini dikatakan bakal mempunyai kesan khas.

Telegram juga menjanjikan penambahan serta kemas kini sticker setiap bulan.

Pengurusan Perbualan ‘Advanced’

Pengguna yang berada dalam puluhan bahkan ratusan channel pasti tersenyum lebar dengan fitur ini.

Pelanggan versi premium dijanjikan pilihan untuk menetapkan default folder for chats, auto-archive chats serta dapat menyembunyikan mesej daripada individu yang tidak berada dalam senarai contact.

Lencana Profil (Profile Badge)

Pelanggan versi premium dikatakan bakal menikmati lencana sebagai pengguna Telegram Premium di sebelah kata nama pengguna.

Dan ia pastinya dapat dilihat semua pengguna lain.

Boleh la nak ‘flex’ yang anda adalah pengguna versi premium!

Gambar Profil Beranimasi

Fitur ini sedia ada buat pengguna versi percuma setakat ini, namun kelak ia akan hanya boleh dinikmati pengguna versi premium.

Namun pendapat peribadi penulis, fitur ini tidak memberi impak yang terlalu besar. Sekadar fitur ‘kosmetik’. 

Premium App Icon

Dan ini satu lagi fitur kosmetik buat pengguna Telegram Premium kelak iaitu premium app icon.

Mungkin sekadar kosmetik, namun pengguna yang membayar setiap bulan pasti dapat berbangga dengan icon yang tidak dinikmati pengguna versi percuma.

Reaksi Unik

Disember lalu, Telegram telah memperkenalkan reaksi mesej. Ketika ini, terdapat 16 reaksi yang ditawarkan.

Dan pastinya pengguna Telegram Premium bakal menikmati reaksi mesej yang lain daripada yang lain.

Kita tunggu sahaja apa agaknya reaksi mesej tambahan untuk pengguna berbayar kelak.

Tambahan limit

Selain fitur-fitur di atas, pengguna Telegram Premium bakal menikmati dua kali ganda limit berbanding pengguna biasa.

Pelanggan berbayar boleh menyertai sehingga 1000 channel, pin sehingga 10 perbualan, menempah sehinnga 10 kata nama pengguna, menyimpan sehingga 400 GIF dan 200 stiker, malah dengan kelebihan 140 character di pautan bio.

Selain itu, pengguna premium bakal menikmati sehingga 4096 character kapsyen, akses kepada 20 folder serta menambah hingga empat akaun menggunakan peranti dan nombor berbeza. Wow!

Harga langganan

Memetik laporan beebom, maklumat di versi beta menyatakan Telegram Premium bakal mengenakan cas bulanan USD 4.99 (RM 22.00) kepada pelanggan.

Bagaimanapun cas bagi pengguna di Malaysia masih menjadi tanda tanya.

Adakah anda rasakana harga ini cukup berbaloi?