Penggabungan Celcom & Digi diluluskan MCMC, bakal jadi pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd, melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom selaku pemohon.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC pada pagi Rabu, penggabungan tersebut dimaklumkan akan menjadikannya sebagai pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia, lapor Astro AWANI.

“Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan MCMC

“Oleh yang demikian, MCMC telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya.

Pada 1 April, 2022 MCMC telah mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei, 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti MCMC.

Justeru, menurut MCMC, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC dalam pernyataan isu.

MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini.

Pada 8 April, 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

Sumber: Astro AWANI