TWITTER Inc menyaman Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk, kerana melanggar perjanjian bernilai AS$44 bilion (RM195 bilion) untuk membeli platform gergasi media sosial itu.
Twitter juga telah meminta Mahkamah Delaware memerintahkan orang terkaya di dunia untuk melengkapkan pembelian pada AS$54.20 (RM240) sesaham seperti dipersetujui sebelum ini.
“Musk nampaknya percaya bahawa dia – tidak seperti mana-mana pihak lain yang tertakluk kepada undang-undang kontrak Delaware – bebas untuk mengubah fikirannya, memusnahkan syarikat, mengganggu operasinya, memusnahkan nilai pemegang saham dan pergi,” kata Twitter dalam tuntutan mahkamah.
“Musk enggan menunaikan obligasinya terhadap Twitter dan para pemegang saham kerana perjanjian yang telah ditandatangani tidak lagi memenuhi kepentingan peribadinya,” demikian tuntutan mahkamah.
Dalam pemfailan berasingan, Twitter juga meminta mahkamah menjadualkan perbicaraan empat hari pada pertengahan September akan datang.
Jumaat lalu, Musk mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian pembelian Twitter Inc, selepas syarikat gergasi media sosial itu didakwa gagal memenuhi permintaannya yang mahukan maklumat mengenai akaun palsu di platform berkenaan yang merupakan asas kepada prestasi perniagaannya.
Terdahulu, saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu bila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.
Sumber: Kosmo