Elon Musk beli Twitter secara tunai dengan harga RM191 bilion

BILIONAIR yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk mencapai rundingan untuk membeli Twitter Inc dengan bayaran tunai sebanyak AS$44 bilion (RM191.44 bilion), sekali gus bakal menyaksikan pertukaran pemilikan platfrom media sosial itu.

Ia detik bersejarah buat syarikat berusia 16 tahun yang muncul sebagai wadah paling berpengaruh di dunia dan kini berdepan pelbagai jenis cabaran, lapor Utusan.

Musk sebelum ini yang menyifatkan dirinya sebagai pendukung kebebasan berucap, mengkritik pendekatan Twitter dan berkata bahawa algoritma yang mengutamakan ciapan tertentu harus berupaya diakses oleh orang ramai, selain menyelar peruntukan kuasa berlebihan terhadap syarikat yang melanggan perkhidmatan pengiklanan.

Perkongsian Elon Musk di Instagram selepas memebeli Twitter

Transaksi pembelian Twitter itu diluluskan pihak lembaga dan kini tertakluk kepada undian dalam kalangan pemegang saham. Penganalisis menjangkakan bahawa tiada kekangan berhubung aspek kawal selia selepas ini.

Perbincangan berhubung perjanjian jual beli itu dilakukan pada minggu lalu dan dilihat tidak menentu, namun prosesnya dipercepatkan selepas Musk ‘memikat’ pemegang saham menerusi butiran kewangan di sebalik penawarannya.

Baca juga: Kad Touch ‘n Go NFC mula dijual, kini pengguna boleh tambah nilai guna telefon bimbit!

Berdepan tekanan, Twitter mula mengadakan rundingan dengan Musk yang ingin membeli syarikat berkenaan pada kadar harga AS$54.20 (RM235.82) bagi setiap unit saham.

“Kebebasan berucap adalah asas utuh demokrasi dan Twitter adalah wadah digital yang menyaksikan perkara penting mengenai masa depan kemanusiaan sering diperdebatkan,” kata Musk dalam kenyataan.

Bangunan ibu pejabat Twitter di San Francisco.

Saham Twitter melonjak 5.7 peratus semalam, menghampiri paras AS$51.70 (RM225). Perjanjian itu mewakili hampir 40 peratus premium harga dagangan ditutup, iaitu sehari selepas Musk mendedahkan butiran pembelian sembilan peratus pegangan Twitter.

Bagaimanapun, tawaran itu di bawah paras AS$70 (RM304.57) yang didagangkan Twitter pada tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Rumah Putih enggan mengulas lanjut berhubung perjanjian dimeterai Musk, namun berkata bahawa Presiden Joe Biden sudah sekian lama mengutarakan kebimbangan terhadap kuasa platfrom media sosial.

“Kebimbangan kami bukan perkara baharu.

“Presiden (Biden) sudah lama menyuarakan kebimbangannya terhadap kuasa platform media sosial, termasuk Twitter dan lain-lain alam menyebarkan maklumat yang salah,” kata jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, sambil menambah bahawa platform media sosial itu harus lebih bertanggungjawab.

Sumber: Utusan, Berita Harian