LONDON – Virgil van Dijk diumumkan sebagai kapten baharu Liverpool ekoran pemergian Jordan Henderson.
Van Dijk, 32, yang juga ketua pasukan Belanda mengambil alih lilitan kapten selepas Henderson menyertai Al-Ettifaq di Arab Saudi.
Trent Alexander-Arnold pula akan menggalas tugas naib kapten selepas perpindahan James Milner ke Brighton.
“Hari yang sangat membanggakan untuk saya, isteri, anak-anak, keluarga saya. Ia perasaan yang istimewa dan tidak dapat digambarkannya ketika ini. Tetapi ia amat membanggakan.
“Jelas sekali saya kapten Belanda, itu sudah menjadi satu penghormatan besar, masa yang membanggakan juga. Tetapi untuk menjadi kapten Kelab Bola Sepak Liverpool sesuatu yang tidak dapat saya gambarkan ketika ini.
“Saya akan melakukan segala-galanya dengan kudrat saya dan apa saja yang boleh untuk membuatkan setiap orang bangga serta gembira dengan saya dan kelab ini,” kata Van Dijk.
Tonggak pertahanan kebal itu telah membuat 222 penampilan bersama Liverpool sejak tiba di Anfield dari Southampton pada Januari 2018.
Dia telah membantu kelab memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA, selain menjadi salah satu pemain paling penting dalam pasukan.
Begitupun setelah terlepas sebarang trofi musim lalu, Van Dijk tidak sabar-sabar untuk Liverpool kembali ke tahap terbaik mereka.
Sementara itu, Alexander-Arnold, 24, menyertai akademi Liverpool pada 2004 dan menjadi kapten kelab itu dalam hampir semua pasukan peringkat umur.
Sumber : Utusan Malaysia