Umar Raih Emas Acara 400m, Pecah Rekod 22 Tahun

KETIKA ramai yang mengalih perhatian kepada atlet olahraga wanita negara Shereen Samson Vallabouy namun muncul pula pelari 400 meter (m) lelaki Umar Osman yang secara tiba-tiba mencipta kejutan pada penampilan di temasya Sukan Sea Kemboja.

Umar yang pada awalnya tidak diletakkan harapan untuk memenangi pingat secara tiba-tiba ‘berdesup’ menerusi larian bertenaga untuk menghadiahkan emas ketiga negara dalam acara 400m.

Lebih mengejutkan Umar berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan 46.34 saat (s) sekali gus memadam rekod lama milik Mohd Zaiful Zainal Abidin yang mencatat 46.41s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia edisi 2001.

Pada acara yang berlangsung di Stadium Morodok Techo itu menyaksikan perak dan gangsa milik atlet Filipina Umajesty Wesley (46.52s) serta Frederick Cabatu (46.63s).

Sementara itu, Umar berkata, tampil sebagai atlet yang tidak diletakkan sebarang harapan menyebabkannya menyimpan hasrat untuk mencipta kejayaan dalam acara terbabit.

“Saya memang berikan segalanya ketika berlari, janji dapat emas untuk negara. Ini penampilan pertama dan dapat pula emas selain turut terkejut mencipta rekod baharu kebangsaan.

“Sebelum ini, tak ada orang berikan kepercayaan dalam acara ini namun jurulatih, keluarga dan rakan memberikan semangat supaya dapat pingat emas,” katanya kepada Harian Metro.

Pelari berusia 20 tahun itu akan meneruskan perjuangan di Sukan Sea Kemboja apabila akan turun beraksi bagi acara 4x400m.

Sumber : Harian Metro