INGATKAN Johor Darul Takzim (JDT), rupa-rupanya Selangor.
Siapa sangka rupa-rupanya Selangor yang berhasrat untuk melamar pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dan bukannya JDT.
Itulah kisah sebenar yang didedahkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kontroversi Sumareh membabitkan isu perpindahannya musim depan, lapor Harian Metro.
Menerusi perkongsian beberapa keping gambar berkaitan tawaran kontrak dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyaksikan pemain naturalisasi Harimau Malaya itu ditawarkan gaji sebanyak AS17,000.00 (RM70,482) sebulan tidak termasuk bonus serta elaun tambahan.
Malah, melalui perbualan aplikasi WhatsApp bersama Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, tonggak sayap Pahang itu mahu FAS naikkan gaji kepada AS20,000 (RM82,171) sebulan untuknya menandatangani kontrak selama dua musim bermula 21 Januari 2021 hingga 20 Januari 2023.
Difahamkan, Pengarah Teknikal FAS dari Jerman, Micheal Feictenbeiner amat berminat untuk membawa Sumareh ke Shah Alam dan beliau yakin pemain kelahiran Gambia itu amat sesuai dengan corak permainan skuad Red Giants.
“Hello Sumareh, saya Micheal TD (Pengarah Teknikal) Selangor. Saya mahu berhubung dengan awak (Sumareh) secara terus dan saya gembira sekiranya kita dapat bekerjasama pada musim depan.
“Awak amat sesuai dengan Selangor dan saya berjanji, kami boleh tingkatkan prestasi awak dan jadi antara penyerang terbaik di negara ini!.
“Kalau awak ada apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya bila-bila masa. Jumpa lagi,” katanya yang juga bertindak selaku jurulatih Selangor II.
Ia kemudian dibalas oleh Sumareh yang mengakui falsafah permainan bola sepak Selangor cukup baik.
“Hello jurulatih Micheal. Sejujurnya saya suka akan gaya permainan dan falsafah bola sepak pasukan, dan sebab itu saya gembira tengok Selangor dan saya suka untuk bekerjasama.
“Saya akan berhubung dengan pihak pengurusan dan harap semuanya berjalan lancar,” kata Sumareh.
Bagaimanapun, hasrat FAS tidak kesampaian apabila Sumareh memilih menyertai kelab Thailand, Police Tero pada musim depan.
Terdahulu, Sumareh mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan serta tidak menjalani latihan pada awal Ogos.
Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.
Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status FAM.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon mempertahankan tindakan pihaknya menawarkan kontrak kepada Sumareh sebelum ini.
Katanya, tidak timbul campur tangan banyak pihak termasuk Micheal Feichtenbeiner atau Exco FAS ketika melakukan proses rundingan dengan pemain naturalisasi negara itu.
Menurutnya, beliau sendiri diberi ‘lampu hijau’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memulakan rundingan bersama Sumareh sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan FAS punca tonggak itu ‘lari’ meninggalkan skuad Tok Gajah.
“Bagi pihak FAS kita tak langgar apa-apa peraturan. Saya pun siap minta kebenaran daripada FAM lagi, sebelum berunding dengan Sumareh untuk tahu tentang status dia.
“Dari pihak Selangor kita nak buat sesuatu dengan cara betul dan saya difahamkan kita boleh berunding dengan Sumareh berdasarkan perbualan saya dengan pengurusan tertinggi FAM.
“Saya boleh jamin itu bukan puncanya (FAS punca Sumareh tinggalkan Pahang). Cuma saya tak boleh cerita lebih sebab nanti akan jadi lebih besar. Masalah dia dengan Pahang kami tak masuk campur,” katanya.
Sumber: Harian Metro