BERGENANG air mata ini…. sebak sudah namun tidak jatuh juga.
Luis Suarez buat kali terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan di Barcelona dalam keadaan sebak dan berat hati.
Pemain Uruguay itu akhirnya meninggalkan The Catalan untuk menjalani ujian perubatan sebelum memuktamadkan penghijrahan bersama Atletico Madrid dengan nilai perpindahan sebanyak 5.5 juta pound (RM29.1 juta).
Sebelum itu, Pengerusi The Catalan, Josep Maria Bartomeu terlibat dalam usaha menyekat penyertaan Suarez ke pesaing terkuat La Liga itu.
Bagaimanapun, sumber membongkarkan rahsia bahawa Suarez mengugut Bartomeu akan mengadakan sidang media bersama peguamnya untuk mendedahkan niat jahat kelab itu kepada dunia sekiranya tidak merestui hasratnya menyertai Atletico Madrid.
Barcelona di ambang krisis sejak dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
Pengurus baharunya, Ronald Koeman terlibat dalam proses membersihkan pasukan itu dengan mencampak keluar pemain-pemain bergaji mahal yang tiada dalam rancangan pembangunan semula kelab itu.
Suarez pemain ketiga meninggalkan Barcelona selepas Arturo Vidal dan Ivan Rakitic.
Suarez adalah pemain sangat popular dalam pasukannya dan sangat rapat dengan Lionel Messi.
Suarez meninggalkan padang latihan Barcelona pada Rabu selepas meluangkan masa buat kali terakhir dengan rakan-rakan sepasukannya khususnya Lionel Messi yang merupakan sahabat akrab sepanjang enam musim di Nou Camp.
Dia kelihatan sebak dan berat hati ketika memandu keluar meninggalkan pusat latihan itu oleh para pemberita yang menunggu di pintu masuk untuk merakamkan visual Suarez.
Suarez meninggalkan Nou Camp sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang masa sepanjang enam tahun bersama kelab itu sejak 2014.
Sumber: MalaysiaGazette