Salah gagal sempurnakan penalti selepas ‘ditembak’ laser

PENYERANG Mesir, Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam kelayakan Piala Dunia menentang Senegal malam tadi gara-gara ditembak dengan pancaran laser.

Bukan hanya Salah, hampir kesemua pemain Mesir termasuklah penjaga gawang turut menerima nasib sama.

Gangguan pancaran-pancaran laser berwarna hijau itu dipancarkan dari arah penyokong Senegal ketika penyerang itu sedang ‘bersedia’ untuk melakukan sepakan penalti.

Sebaik wisel dibunyikan, Salah merembat bola ke arah gawang gol. Namun rembatannya agak tersasar tinggi ke atas, sekaligus misinya menumpaskan penjaga gol Senegal gagal.


Gara-gara laser itu, Mesir akhirnya tewas 0-1 kepada Senegal selepas ketinggalan sepakan penalti 1-3 pada kelayakan Piala Dunia 2022 malam tadi.

Kedua-dua negara itu terikat 1-1 secara agregat selepas gol sendiri Hamdi Fathi pada minit keempat membolehkan Senegal menang tipis 1-0 di Stade Me Abdoulaye Wade.

Menurut laporan, kekalahan Mesir pada malam tadi merupakan kali kedua negara itu tunduk kepada Senegal menerusi penentuan sepakan penalti, sejak Senegal menjulang Piala Afrika pada Februari lepas.

Rakaman video Salah yang diganggu pancaran laser hijau pada wajahnya juga tular di laman media sosial.

Ia dipercayai membangkitkan rasa tidak puas hati sebahagian besar penyokong Mesir yang mendakwa gangguan itu berunsurkan perkauman.

Bagaimanapun peminat mendakwa provokasi tersebut dimulakan penyokong Mesir terlebih dahulu.