Petaling Jaya – Pemain sensasi Selangor FC, Muhamad Faisal Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut Selangor FC menerusi kenyataan malam Rabu.
Ia susulan kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.
Namun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula semalam (25 Julai) hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.
“Semalam, wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk perbicaraan tatatertib. Pada hari ini, Selangor telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.
“Oleh itu, beliau tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) (29 Julai), Kuala Lumpur City (8 Ogos), Negeri Sembilan (13 Ogos) dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC (3 dan 19 Ogos),” menurut kenyataan itu.
Sumber : Sinar Harian