Belum reda lagi dengan jumlah ganti rugi kerosakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, warganet kembali naik angin dengan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pemuda Dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia.
Kemenpora ketika ini mendesak Malaysia meminta maaf atas insiden kekecohan yang dicetuskan penyokong kita pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Selasa lalu.
Antara komen yang ditinggalkan di beberapa media laman sosial tidak melihat permintaan ini tidak wajar dilayan memandangkan sikap tidak bertanggungjawab itu terlebih dahulu dilakukan penyokong pihak lawan. Malah ada yang meminta pihak pemerintah Negara jiran itu terlebih dahulu membayar ganti rugi.
Menerusi laporan CNN Indonesia, sebelum perlawanan bermula lagi keadaan di stadium sudah mula panas dengan penyokong kedua-dua negara mula membaling benda yang dipercayai botol .
Malah keadaan lebih teruk apabila pemain Negara Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pembukaan untuk Harimau Malaya hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-30. Keadaan itu berterusan apabila penyerang pasukan Indonesia iaitu Osas Saha gagal menjaringkan gol dalam sepakan penalti yang dihadiahkan selepas salah seorang pemain Indonesia dikasari di dalam kotak penalti.
Selain botol menurut Sesmenpora Gatot S. Dewa Broto, juga antara barangan yang menjadi barangan utama yang dilempar kearah penyokong kedua belah pihak adalah suar, kerusi dan bom asap.
Malah dalam mengelakkan perselisihan yang lebih teruk, penyokong Indonesia juga diminta tidak keluar dahulu daripada Stadium.
“Tidak ada lagi komunikasi antara Kementerian Belia dan Sukan Malaysia kepada Kemenpora Indonesia mengenai insiden yang berlaku tempoh hari,” ulas Sesmenpora Gatot S. Dewa Broto
Jelas Gatot segala informasi ini didapatinya melalui laporan yang dibuat beberapa penyokong Indonesia yang mahu pihak pemerintah Indonesia mengambil tindakan atas kejadian tersebut. Tambahnya lagi dia akan melihat kesan kejadian ini sebelum menimbangkan untuk menghantar protes kepada FIFA.
Sementara itu September lalu dua penyokong Malaysia cedera di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta akibat kekerasan yang dilakukan penyokong Indonesia.