SEMANGAT serta janji jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang terbukti membuahkan hasil apabila berjaya menduduki kedudukan cemerlang menerusi pusingan saringan acara Keirin pada Sabtu.
Pencapaian itu sekaligus membuatkan negara masih mempunyai harapan bagi memperoleh pingat emas.
Beraksi pada saringan ketiga di Velodrom Izu, Azizulhasni dengan mudah melayakkan diri ke suku akhir setelah berjaya mengekalkan kedudukan di hadapan pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul.
Sementara itu, semangat juang luar biasa turut dipamerkan seorang lagi jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom meskipun berdepan kemalangan pada saringan kedua.
Situasi itu berlaku selepas berlaku himpitan pelumba Great Britain, Jack Carlin, mengakibatkan perlumbaan semula tidak dapat diteruskan.
Bagaimanapun kecederaan bukan penghalang untuk kekal dengan aksi bertenaga apabila pelumba kelahiran Muar itu memilih menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.
Kecederaan yang dialami Shah Firdaus di bahagian rusuk namun tidak menghentikan perjuangan sebaliknya, pusingan repechage jadi penentu merebut tempat di suku akhir.
Aksi penuh mendebarkan apabila dia sekali lagi hampir terjatuh namun henjutan terakhir yang mengabaikan kesakitan berjaya membawanya berada di kedudukan kedua sekaligus memperoleh tempat di suku akhir.
Kedua-dua atlet negara sekali lagi bakal berentap di peringkat suku akhir pada Ahad dalam usaha memburu pingat emas pertama buat negara.