Manchester City Julang Trofi Keempat, Juarai Piala Super Eropah Setelah Menang Penalti 5-4 Menewaskan Sevilla

ATHENS – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya berhak menjulang trofi Piala Super Eropah selepas meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 pada aksi final di Stadium Karaiskakis awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tidak dapat dipisahkan pada masa sebenar apabila terikat 1-1 dengan Sevilla meraih gol menerusi ledakan Youssef En-Nesyri, manakala City bangkit dengan jaringan Cole Palmer.

Kata Guardiola, anak-anak buahnya berjaya mendominasi sebahagian besar perlawanan selain melakukan 23 percubaan ke atas kubu lawan dan tidak bernasib baik untuk meraih kemenangan sebelum wisel penamat ditiupkan.

“Ini adalah salah satu final yang mana penjaga gol memainkan peranan utama dan pujian wajar diberikan kepada pemain lawan kerana mengekang setiap asakan yang cuba dilakukan.

“Selepas menjaringkan gol, mereka juga mencipta beberapa peluang hasil percubaan En-Nesyri dan penjaga gol kami turut cemerlang menyelamatkan percubaan bahaya.

“Saya rasa kita layak menjulang trofi walaupun saingan berakhir dengan penentuan sepakan penalti,” katanya.

Sementara itu, Guardiola memuji impak yang dipamerkan oleh pemain muda, Palmer yang berjaya mengisi kekosongan di posisi sayap kanan dengan terbaik.

“Dia telah menunjukkan prestasi tersendiri kerana bukan mudah untuk bersaing dengan pertahanan berkualiti Sevilla menerusi Marcos Acuna. Namun, masa depannya bersama pasukan masih belum terjamin kerana dia pernah kata mahu berhijrah sebelum ini,” katanya. – AGENSI