SAINGAN musim ini baru saja bermula, namun Manchester City sudah merangka perancangan untuk membawa masuk bintang Barcelona, Lionel Messi secara percuma pada musim panas akan datang.
Messi sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Stadium Etihad selepas dia memberi isyarat mahu meninggalkan Nou Camp.
Bagaimanapun, selepas dua minggu mengadakan rundingan, Messi membuat pusingan U dan memutuskan untuk kekal bersama Barcelona pada tahun terakhir kontraknya.
Kini, Man. City sudah mememulakan gerakan bagi mendapatkan khidmat pemain terbaik dunia itu secara percuma pada hujung saingan musim ini.
“Dia pemain yang memiliki bakat menakjubkan dan mampu mencetuskan impak yang besar terhadap mana-mana kelab di dunia sama ada di dalam mahupun di luar padang.
“Dia adalah pemain terbaik dunia dan pemain terbaik dalam generasinya.
“Saya fikir mana-mana kelab di dunia akan melihat kemungkinan dia menyertai pasukan mereka.
“Ketika dia menyuarakan keinginannya untuk bermain bersama Man. City membuktikan betapa pasukan ini adalah tempat di mana pemain terbaik mahu sertai,” kata Ketua Pegawai Operasi Man. City, Omar Berrada.
Messi akan menjangkau usia 34 tahun seminggu sebelum kontraknya bersama Barcelona tamat dan ia akan memberikan pengecualian terhadap polisi perpindahan The Citizen. – Agensi
Sumber: Berita Harian