Malaysia Takluk Skuasy Remaja Asia

PETALING JAYA – Malaysia menutup kempen Kejohanan Skuasy Remaja Asia dengan keputusan membanggakan apabila meraih lima pingat emas dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Xiqang, Dalian, China hari ini.

Dalam aksi kategori utama, perempuan bawah 19 (B19) tahun, pilihan pertama kejohanan, Aira Azman menepati ramalan meraih gelaran juara keenam selepas menumpaskan rakan senegara, Sehveetrraa Kumar.

Bagaimanapun kejayaan Aira tidak hadir dengan mudah apabila diberikan tentangan sengit sebelum pemain itu bangkit mencatat kemenangan 9-11, 11-6, 11-8, 11-1.

“Saya amat gembira dengan prestasi saya sepanjang kejohanan ini. Ia bukan mudah untuk saya kerana sebagai penyandang juara, ada banyak tekanan yang saya hadapi untuk mempertahankan kejuaraan ini,” jelas Aira.

Joachim Chuah yang bersaing dalam kategori B19 tahun lelaki menebus kekecewaan tahun lalu apabila menewaskan rakan senegara, Harith Danial Jefri dengan keputusan 11-9, 7-11, 10-13, 11-6, 13-11.

Dalam aksi lelaki B17 tahun, Low Wa Sern berjaya memberikan tentangan sengit untuk menumbangkan pemain Korea Selatan, Na Joo Young apabila menang dengan keputusan 11-6, 11-9, 5-11, 13-11.

Kemenangan itu turut menebus kekecewaan Wa Sern pada edisi lalu di Na Chom Thian, Thailand apabila tewas kepada Joo Young dalam aksi final.

Jayden Oon yang beraksi dalam kategori lelaki B15 tahun turut beraksi cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun, Shunsaku Kariyazono dengan keputusan 4-11, 11-4, 11-5, 11-5.

Pertemuan sesama Malaysia dalam kategori perempuan B13 tahun menyaksikan Jinoreeka Ning Manivannan mengatasi rakan sepasukan, Niea Chew selepas menang dengan keputusan 11-6, 9-11, 11-6, 16-14.

“Saya sangat-sangat berpuas hati dengan kesemua pemain, termasuk yang tewas pada pusingan sebelum ini.

“Ramai pemain luar negara memuji pemain kita yang bermain dengan penuh semangat tanpa mudah mengalah. Walaupun mereka hampir kalah, tetapi pemain kita tetap bermain bermati-matian sehingga mata terakhir. Bagi saya masa depan pemain negara kita di landasan yang tepat,” jelas jurulatih skuasy negara, Shahril Shahidan. 

Sumber : Kosmo