Bintang Argentina, Lionel Messi akhirnya melengkapkan perpindahannya menyertai Inter Miami dalam saingan Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat (MLS) dengan kontrak sehingga 2025.
Pemenang tujuh Ballon d’Or itu diperkenalkan secara rasmi semalam selepas meninggalkan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma apabila kontraknya berakhir bulan lalu.
Ini adalah kali pertama Messi yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar tahun lalu, beraksi dengan kelab dari luar Eropah selepas memulakan kariernya bersama Barcelona.
“Saya amat teruja untuk memulakan babak baharu dalam karier saya bersama Inter Miami di Amerika Syarikat. Saya akan menggunakan peluang ini untuk membantu membina projek hebat di sini.
“Ideanya untuk bekerjasama bagi mencapai matlamat ditetapkan. Saya tidak sabar untuk menghulurkan bantuan kepada ‘rumah baharu’ saya,” kata Messi.
Pemilik bersama Inter Miami, David Beckham menganggap perpindahan itu sebagai impian menjadi kenyataan dan menjangkakan Messi turun membuat debut menentang Charlotte FC di Stadium DRV PNK pada Jumaat ini.
“Saya mengimpikan peluang untuk membawa pemain terhebat dunia ke Miami ketika saya memulakan perjalanan ini pada 10 tahun lalu. Saya mahu berkongsi impian ini dengan generasi muda di Amerika Syarikat.
“Hari ini impian itu menjadi kenyataan. Saya amat berbangga kerana Leo (Messi) memilih untuk menyertai kami. Saya percaya dia mampu melonjakkan MLS ke satu tahap tertinggi,” jelasnya.
Sumber : Kosmo