ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum menang 2-0 ke atas Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menang kesemua 18 perlawanan dengan mengutip 54 mata, 14 mata dihadapan Red Giant yang mengutip 40 mata daripada 19 perlawanan.
Beraksi di gelanggang keramat JDT, pasukan kendalian kendalian Tan Cheng Hoe terlebih dahulu membuka langkah melancarkan serangan ke kubu lawan cuba mengejutkan pasukan tuan rumah, namun tiada gol dihasikan pada babak pertama.
Ketika perlawanan dilihat berkemungkinan berakhir tanpa jaringan, pemain import baharu JDT, Fernandes tampil di saat genting dengan menjaringkan gol pertama pada aksi debutnya.
Hantaran Oscar Arribas ke dalam kotak penalti pada minit ke-78 menyaksikan pemain kelahiran Brazil itu berjaya membuat sentuhan terakhir membolehkan bola itu tidak dapat dicapai Somerville dan menerjah gawang lawan.
Pada babak akhir permainan, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Bergson dikasari pemain pertahanan lawan pada pada masa kecederaan.
Bergson yang tampak tenang mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-0 buat JDT.
Sumber : Kosmo