PENYERANG prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski berjaya mengetepikan cabaran dua ikon bola sepak moden, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2020, lapor Kosmo!
Kapten Poland itu meraih Anugerah Tahunan FIFA berdasarkan kecemerlangannya meledak 55 gol dalam 60 perlawanan membantu Bayern memenangi lima gelaran termasuk Liga Juara-Juara musim lalu.
Lewandowski, 32, gembira kerana memenangi anugerah itu tetapi tidak menjangka trofi tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino awal pagi semalam.
“Saya rasa sangat gembira dan bangga dengan anugerah ini. Hari yang cukup hebat bukan sahaja kepada saya tetapi buat kelab dan semua rakan sepasukan.
“Ia sangat menakjubkan apabila dapat memenangi anugerah ini dan berada sebaris dengan Messi dan Ronaldo. Saya anggap ia sebagai satu penghormatan buat diri sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Lewandowski turut mendedahkan bahawa dia sudah lama mengidamkan anugerah seperti itu dan menganggap kemenangan tersebut sebagai impian menjadi kenyataan.
“Saya akui sudah lama mengimpikan anugerah seperti ini dan akhirnya ia dapat direalisasikan. Segala kerja keras saya selama ini membuahkan hasil,” ujarnya.
Dalam pada itu, gol solo ketika menentang Burnley musim lalu membawa tuah buat penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min apabila jaringan itu berjaya memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2020.
Gol penyerang Korea Selatan tersebut terpilih memenangi Anugerah Tahunan FIFA mengetepikan dua lagi jaringan hebat daripada Luis Suarez yang ketika itu mewakili Barcelona dan Giorgian de Arrascaeta bersama Flamengo.
Heung-Min menjelaskan, gol itu terhasil apabila dia terpaksa melakukan larian solo untuk melakukan serangan balas pantas sewaktu menentang Burnley musim lalu.
“Pada ketika itu, saya lihat Dele (Alli) melakukan larian tetapi dia dikawal oleh pemain-pemain Burnley.
“Ketika itu saya terfikir untuk cuba melakukan larian sejauh yang boleh. Namun, saya sendiri tak jangka dapat masuk ke dalam kotak penalti dan melakukan jaringan.
“Saya tak anggap ia istimewa kerana fokus saya lebih kepada memenangi perlawanan buat Spurs. Bagaimanapun, selepas menontonnya kembali, barulah saya fikir ia satu gol yang sangat istimewa,” katanya.
Sumber: Kosmo!