AKTIVIS alam sekitar yang melakukan pendaratan cemas di kawasan stadium ketika aksi Jerman-Perancis dalam saingan Euro 2020 berlangsung di Munich malam tadi, dilaporkan terselamat daripada menjadi mangsa penembak tepat.
Menurut Menteri Dalam Negeri Bavaria, “penembak tepat telah menyedarinya terlebih dahulu dan jika pihak polis tidak melihat logo Greenpeace pasti mereka akan menyimpulkan bahawa itu merupakan serangan pengganas”.
Sehubungan itu, kumpulan kempen alam sekitar sudah memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan mendakwa aktiviti itu tidak berjalan seperti dirancang.
Dalam pada itu, dua individu iaitu seorang warganegara Perancis, 36, dan seorang warga Ukraine, 42 cedera dalam cubaan aktivis itu melakukan pendaratan cemas di dalam Allianz Arena.
Mereka dibawa ke hospital dengan kecederaan di kepala tetapi sudah dibenarkan keluar, kata jurucakap polis Munich, Sven Mueller kepada AFP.
Aktivis Greenpeace yang dikenal pasti sebagai lelaki berusia 38 tahun dari Pforzheim itu ditangkap selepas mendarat di padang dalam kalangan pemain Jerman dan Perancis. Juruterbangnya tidak cedera.
Sumber: Berita Harian