Temerloh: Seorang pelatih kecergasan melakar rekod dalam Influencer Book of World Records dan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 12 jam tanpa henti, pada 23 Julai lalu.
Dr K Jey Prabakaran Thevar, 26, yang lebih dikenali sebagai Dr Kjey mencatatkan rekod itu dengan menggunakan lebih 20 peralatan seperti treadmill, dumbbell dan barbell.
Anak kelahiran Kuala Lipis itu berkata, sepanjang tempoh 12 jam itu, dia hanya makan dan minum ketika melakukan acara senaman angkat berat yang bersesuaian dan diberikan masa lapan minit untuk ke tandas.
“Saya membuat persediaan rapi sejak November lalu, mulanya saya ingin melakukan (rekod) senaman ini pada April lalu, namun saya menghadapi kecederaan lutut dan perut menyebabkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan sehingga ia dapat direalisasikan 23 Julai lalu.
“Saya gembira dan bangga kerana kali pertama rekod ini dilakarkan secara individu dan dilakukan oleh rakyat Malaysia, sebelum ini rekod itu dilakukan secara berkumpulan,” katanya ketika ditemui sempena majlis penyerahan sijil Influencer Book of World Record dan MBOR di sini, hari ini.
Sijil itu diserahkan Duta Besar Ketua Pengadil Datuk Dr Nisha Kogila R dan Perunding Kanan Rekod MBOR Edwin Yeoh.
Mengenai persediaannya melakukan rekod itu, Kjey berkata, sepanjang latihan dia amat menitikberatkan diet untuk mengekalkan kekuatan fizikalnya.
“Saya amalkan diet tanpa gula, garam dan makan lapan kali dalam sehari tapi dalam kuantiti sedikit untuk kekuatan fizikal.
“Saya juga dalam perancangan ingin melakukan beberapa rekod lain selepas ini kerana mahu menaikkan nama Malaysia di mata dunia dalam bidang kecergasan ini,” katanya.
Sumber : Harian Metro