Persatuan Bolasepak (FA) Thailand memohon maaf dan berikrar akan melakukan siasatan berhubung insiden perlawanan akhir Sukan Sea menentang Indonesia yang dicemari dua pergaduhan besar serta layangan empat kad merah, semalam.
Thailand tewas 2-5 selepas masa tambahan yang menyaksikan mereka menamatkan perlawanan dengan hanya lapan pemain di atas padang dekat ibu negara Kemboja, Phnom Penh.
Salah seorang yang dibuang padang ialah penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart selepas dia berlari separuh daripada padang untuk menyertai pergadungan antara kedua-dua pasukan.
“FA Thailand perlu memohon maaf atas insiden di tepi padang,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan sambil menambah mereka akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat mereka yang terbabit dengan secepat mungkin sekali gus bakal mengambil tindakan tegas.
Acara bola sepak lelaki temasya dwitahunan itu menyaksikan pertembungan pemain di bawah usia 23 tahun.
Perlawanan akhir itu dianggap sebagai peluang bagi Indonesia untuk mengembalikan kebanggaan kepada maruah bola sepak mereka selepas insiden banyak kehilangan nyawa di stadium dan kehilangan hak penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun.
Tetapi aksi final itu akan diingati bermula pada minit ke-97 apabila Thailand yang telah ketinggalan 2-0 menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-2 dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Barisan pegawai Thailand dilihat meraikan kejayaan menyamakan kedudukan itu dengan berlari ke bangku simpanan Indonesia sekali gus menyebabkan situasi huru-hara.
Apabila Indonesia mendahului pada awal masa tambahan, pegawai mereka membalas tindakan sama ke atas kem Thailand.
Sumber : Harian Metro