SKUAD Harimau Malaya menang bergaya 3-1 dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan sebentar tadi.
Jaringan pertama diledakkan seawal minit ke sebelas oleh Safawi Rasid hasil hantaran kemas Arif Aiman.
Pada minit ke 14 pula, percubaan Darren Lok yang sedikit tersasar menafikan gol kedua buat Malaysia.
Namun berselang dua minit, Faisal Halim berjaya mencetak jaringan kedua buat negara.
Ketangkasan skuad kendalian Kim Pan-gon sekali lagi menggegar stadium dengan cubaan sepakan percuma selepas Safawi Rasid dijatuhkan.
Bagaimanapun percubaan yang diambil Azam Azih sedikit tersasar.
Malaysia terus disentak dengan jaringan pertama Turkmenistan oleh Altymyrat Annadurdyyev yang ditanduk Dion Cools pada minit ke 38.
Namun Malaysia mampu menarik nafas lega apabila Corbin Ong dengan bergaya berjaya menyudahkan gol ketiga pada masa tambahan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua melihat Turkmenistan bangkit sehingga hampir menggoyahkan barisan pertahanan Malaysia beberapa kali.
Perlawanan berakhir dengan Malaysia berjaya mengutip tiga mata dalam kumpulan E.
Perlawanan kedua menentang Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain bakal berlangsung Sabtu ini.