GAJI para pemain kelab Manchester United bakal dipotong sebanyak 25 peratus selepas mereka gagal ke Liga Juara-Juara Eropah.
Impian skuad Red Devils untuk pergi lebih jauh nampaknya musnah selepas kelab itu tewas ‘teruk’ dengan kekalahan memalukan 0-4 kepada Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris baru-baru ini, lapor Daily Mail UK
Kekalahan besar tersebut telah membuatkan MU gagal merebut tempat empat teratas di liga EPL, sekaligus mematahkan langkah mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara kelak.
Memetik laporan Daily Mail lagi, pemotongan gaji pemain tersebut adalah satu langkah bagi melindungi kelab berkenaan berdasarkan hasil prestasi semasa yang kurang meyakinkan ketika ini.
Antara yang paling terkesan ialah pemain sensasinya dari Portugal, Cristiano Ronaldo yang bakal berdepan dengan pengurangan gaji mingguannya.
Gaji mingguannya daripada RM2.07 juta seminggu dikurangkan kepada RM1.55 juta sahaja sekiranya dia memilih untuk terus kekal bermain di Old Trafford pada musim depan.
Ia bakal menyebabkan penyerang berpengalaman itu mengalami pengurangan gaji yang terendah dalam tempoh beberapa tahun.
Sebelum ini Ronaldo telah pun menerima penurunan gaji yang besar sebanyak RM2.69 juta seminggu yang diperolehinya di kelab terdahulu, Juventus semata-mata kepulangan dramatiknya ke Old Trafford awal musim ini.
Selain itu, pemegang gaji kedua tertinggi bagi penjaga gol, David de Gea juga dilapor bakal dipotong daripada RM2.02 juta seminggu kepada RM1.5 juta seminggu.
Bagaimanapun pemain boleh berunding untuk jumlah pengurangan yang lebih rendah dan MU juga tidak merahsiakan polisi ini.
Perkara ini telah disebut dalam keputusan tahunan mereka.
United masih bergelut dengan prestasi semasa dan gagal menampilkan aksi yang memberangsangkan walaupun kepulangan Ronaldo dan pembelian Jadon Sancho serta Raphael Varane pernah menjadi ‘bench mark’,
Pemain-pemain MU yang tinggal sekarang juga sudah maklum bahawa gaji yang bakal diterima mereka pada Ogos ini lebih rendah berbanding sekarang.
Sumber: Daily Mail UK, Siakap Keli