NEGARA memperoleh pingat emas pertama menerusi acara sukan powerlifting kategori lelaki 72 kilogram di Tokyo International Forum, sebentar tadi.
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang merupakan anak kelahiran Sarawak berusia 22 tahun itu menyifatkan kejayaan tersebut merupakan hadiah kepada negara sempena hari kebangsaan.
“Ini sememangnya kenangan yang manis buat saya dan juga untuk menghadiahkan sempena hari kebangsaan kita.
“Pingat ini memang sangat penting untuk saya memandangkan ini kemunculan pertama saya dan telah buat persembahan yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual secara atas talian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Bonnie turut menceritakan keluarga antara pihak yang mendorong dirinya mencapai kejayaan hari ini.
“Semalam sebelum tidur ada berhubung dengan keluarga, minta nasihat dan mendoakan saya untuk berjaya dalam hari ini jadi semuanya termakbul,” katanya lagi.
Bonnie telah memecahkan rekod Paralimpik dengan 228kg sekaligus meninggalkan pencabar terdekat Mahmoud Attia dari Mesir di tempat kedua (191kg) dan Micky Yule dari Great Britain di tempat ketiga (182 kg).