Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, memuji bintang tengah, Tanguy Ndombele, susulan persembahan hebat ketika menentang Norwich City, awal pagi tadi.
Ndombele menyinar ketika kembali bersama skuad tatkala anak buah Mourinho terikat 2-2 dengan Norwich.
Pemain termahal kelab itu diketepikan ketika aksi ‘Boxing Day’ menentang Brighton and Hove Albion tetapi kembali akibat penggantungan Harry Winks dan Moussa Sissoko dan persembahannya membuatkan Mourinho teruja.
“Dia beraksi sangat cemerlang,” katnaya.
“Kami turun tanpa pemain sebenar posisi itu seperti Winks, Eric Dier tetapi Christian Eriksen dan Ndombele bermain dengan bagus.
“Menguasai keseluruhan perlawanan, permainan sentiasa lancar daripada segi gerakan, hantaran, tiada hantaran ke belakang dan sentiasa mara ke depan untuk mencari pemain sayap. Bola sepak yang hebat.”
Spurs bangkit dua kali untuk mengesahkan satu mata ketika berdepan pasukan kelompok bawahan itu di Carrow Road.
Jaringan pembukaan Mario Vrancic pada minit ke-18 dipadamkan oleh sepakan percuma Eriksen selepas 10 minit permainan bersambung.
Enam kemudian, gol sendiri Serge Aurier kembali meletakkan tuan rumah di depan tetapi Harry Kane menyelamatkan Spurs menerusi sepakan penalti pada minit ke-83.
“Kami mencipta peluang sejak minit pertama sehingga terakhir,” tambah Mourinho.
“Kami bermula dengan baik, mencipta peluang sehingga tamat perlawanan. Kami bermula dengan bagus sebelum menerima hadiah pada 28 Disember. Ia bukan pada ‘Boxing Day’ tetapi hadiah pada 28 Disember.
“Babak kedua menyaksikan kami beraksi lebih baik, sentiasa menyerang, mengambil banyak risiko dan mendominasi perlawanan. Kami menyamakan kedudukan dan mempunyai 30 minit untuk memenangi perlawanan sebelum hadiah kedua berlaku.”