Azizulhasni Kotakan Janji, Hadiahkan Emas Untuk Malaysia Di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2023

Janji jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menghadiahkan emas buat negara buat dirinya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 bukan satu angan-angan kosong, apabila menjuarai acara pecut individu sebentar tadi.

Lebih manis lagi, pingat emas yang dimenangi pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocket Man adalah yang ke-11 buat dirinya sejak menyertainya pada 2007, sekali gus menjadi pelumba paling terbanyak memenanginya di kejohanan itu.

Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Azizulhasni yang turun menentang wakil Jepun, Kaiya Ota di perlawanan akhir acara pecut nyata tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawannya itu 2-0 dengan catatan masa 9.924 saat (s) di perlumbaan pertama dan 9.828s pada perlumbaan kedua.

“Syukur Alhamdulillah… semua ini tidak datang daripada saya sahaja. Pertamanya daripada Allah SWT dan keduanya daripada penyokong dan ahli keluarga yang datang memberikan sokongan.

“Sejak awal saya sudah jangka saingan hari ini agak mencabar. Bermula di peringkat separuh akhir sehingga final, perlumbaan hari ini memang mencabar.

“Perasaan bercampur baur sebab seperti kita tahu macam-macam perkara yang berlaku kepada diri saya sebelum ini. Ini adalah gelaran saya yang ke-11 dan paling banyak di Asia serta berstatus legenda.

“Saya rasa macam tak percaya, akhirnya saya berjaya lakukan kerana memang saya impikan sebelum kejohanan ini untuk memenangi satu pingat emas. Ia bukan satu perlumbaan yang mudah kerana kita tahu beberapa tahun kebelakangan ini, Asia sudah bertaraf dunia dengan kehadiran Jepun, China cuma tiada Belanda,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Mengulas prestasinya dalam saingan separuh akhir dan final, Azizulhasni berkata, taktikal yang diaturnya menjadi sehingga memperoleh kemenangan bersih 2-0 ke atas kedua-dua lawannya dari negara Matahari Terbit itu.

“Memang perlumbaan hari ini saya banyak menggunakan tenaga. Pada perlumbaan kedua (separuh akhir), pelumba Jepun itu ada buat halangan sikit, jadi saya perlu kerah tenaga… alhamdulillah menang.

“Masuk final saya sedar ia menjanjikan saingan lebih mencabar. Perlumbaan pertama, saya guna taktikal berlumba di belakangnya dan kemudian terus memecut laju.

“Dalam perlumbaan kedua, saya pula berada di depannya. Saya mengerah segala kudrat yang ada pada penghujung perlumbaan sehinggalah melintasi garisan penamat,” ujarnya.

Sumber : Harian Metro